My Bizz

Berapakah Purata Pendapatan Ejen Insurans

Pada 22hb September yang lepas saya telah menghadiri satu konvensyen untuk ejen-ejen insurans bumiputra seluruh negara… konvensyen ini telah dihadiri oleh pelbagai ejen dari pelbagai company insurans dan takaful…

Apa yang menarik perhatian saya ialah ucapan yang telah disampaikan oleh Timbalan Gabenor BNM… beliau menyentuh tentang pendapatan @ income ejen-ejen insurans di Malaysia… mari kita lihat berapa pendapatan purata kebanyakan ejen-ejen insurans di Malaysia… ini paper cutting yang saya dapat…

Dan berikut adalah rakaman ucapan dari Timbalan Gabenor BNM… rakaman ni saya ambil dari link Bank Negara Malaysia.
____________________________________________________________
Ucapan oleh Timbalan Gabenor pada Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera 2012 ‘Profesionalisme Tunggak Kejayaan’
Alhamdullilah, terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini sempena Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera 2012 yang bertemakan ”Profesionalisme Tunggak Kejayaan” ini.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima-kasih kepada Institut Insurans Malaysia (MII) sebagai penganjur Konvensyen ini kerana memberi saya peluang untuk menghadiri dan menyampaikan ucapan pada hari ini. Syabas diucapkan kepada MII kerana menganjurkan Konvensyen ini dengan tujuan murni untuk membangunkan ejen insurans hayat bumiputera untuk menjadi insan yang lebih produktif dan berjaya, di samping mampu menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat.
Perkembangan Industri dan Ekonomi
Saudara dan Saudari sekalian,
Izinkan saya memulakan ucapan dengan menyingkap sedikit fakta mengenai perkembangan ekonomi semasa dan berbicara mengenai prestasi sektor insurans dan takaful.
Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, meskipun ekonomi negara berhadapan dengan cabaran persekitaran ekonomi antarabangsa yang tidak menentu, sektor insurans dan takaful telah memperlihatkan perkembangan yang positif dan memberangsangkan. Dalam tempoh ini, jumlah premium insurans dan sumbangan takaful baru telah mencatatkan pertumbuhan yang positif pada kadar purata tahunan sebanyak 4.9%. Pertumbuhan yang paling tinggi sebanyak 13% telah dicatat pada tahun 2010. Pertumbuhan ini juga memaparkan sumbangan ke arah peningkatan yang nyata dalam bilangan rakyat Malaysia yang telah mempunyai perlindungan insurans dan takaful. 
Pada tahun 2011, statistik menunjukkan bahawa bagi setiap 100 rakyat Malaysia, seramai 67 orang dilindungi oleh polisi insurans hayat ataupun takaful berbanding dengan 59 orang pada 5 tahun yang lepas. Manakala, saluran ejensi masih kekal sebagai wadah pemasaran insurans hayat yang penting. Sumbangan dari saluran ejensi adalah berjumlah 65% daripada premium kasar bagi tahun 2011. Seiring dengan perkembangan ini, produktiviti ejen juga telah meningkat jika dilihat daripada premium baru sebanyak RM29,950 bagi setiap ejen pada tahun 2006 kepada RM46,260 pada tahun 2011.
Yang lebih penting, pendapatan purata bagi ejen-ejen insurans hayat terus meningkat, jauh melebihi pendapatan purata negara, walaupun bilangan ejen telah bertambah dengan ketara dari 75,340 pada tahun 2006 kepada 83,174 pada tahun 2011. Ini tidak termasuk ejen takaful hayat yang agak tinggi bilangannya. Jika ia diambilkira individu yang terlibat dalam sektor ini adalah jauh melebihi 150,000 orang.
Dari segi pendapatan, ejen-ejen insurans sepenuh masa telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM92,000 pada tahun 2011. Jumlah ini adalah tiga kali ganda purata pendapatan per kapita negara. Manakala, pendapatan ejen yang bekerja separuh masa hanya mencatakan pendapatan purata RM7,000 setahun. Ini menunjukkan prospek sebagai seorang ejen insurans yang berjaya yang bekerja secara sepenuh masa adalah cerah dan mampu meraih pendapatan yang lumayan.
Perkembangan ini juga membuktikan bahawa para ejen mampu untuk meningkatkan pendapatan mereka dalam persekitaran struktur komisen sedia ada pada hari ini. Ia juga memperlihatkan bahawa struktur komisen masa kini mampu memberikan perolehan yang memuaskan kepada para ejen yang produktif. Kajian juga menunjukkan bahawa struktur komisen yang diamalkan di Malaysia adalah setanding dengan amalan di negara-negara lain.
Di bawah Pelan Sektor Kewangan 2011, Bank Negara Malaysia selaras dengan perkembangan semasa sedang mempertimbangkan untuk memberikan lebih fleksibiliti kepada industri dan syarikat insurans untuk merangka struktur komisen yang bersesuaian dengan falsafah perniagaan masing-masing. Diharapkan dengan memberi industri keupayaan untuk menentukan struktur komisen tersendiri, ia akan diperkenalkan secara seiring dengan ketelusan struktur komisen itu sendiri. Pendedahan struktur komisen bukanlah perkara baru, malah ia telah diamalkan oleh kebanyakan negara rantau ini. Oleh itu adalah penting untuk para ejen bersedia untuk beroperasi di bawah persekitaran yang lebih telus dan liberal. Walau bagaimanapun, kepentingan orang ramai akan sentiasa dilindungi supaya pengguna tidak menanggung kos yang tidak berpatutan dan diberi maklumat yang secukupnya dan tepat untuk membuat keputusan.
Cabaran dan Peluang Peluang Baharu
Saudara-saudari sekalian,
Melihat ke hadapan, sasaran Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berpendapatan tinggi juga akan meningkatkan pendapatan para ejen. Ini adalah disebabkan kenaikan pendapatan rakyat akan meningkatkan keupayaan mereka untuk mendapatkan perlindungan insurans yang lebih tinggi.
Buat masa ini, perbelanjaan per-kapita yang diperuntukkan bagi pembelian insurans dan takaful hayat hanyalah sebanyak RM927, ataupun 3.2% daripada pendapatan per-kapita negara. Saya menjangka jumlah ini akan bertambah apabila semakin ramai rakyat Malaysia akan tergolong dalam kategori mereka yang berpendapatan sederhana dan tinggi.
 Satu lagi perkembangan terkini yang memberi kesan ke atas perkembangan industri insurans ialah struktur demografi penduduk Malaysia yang semakin berubah ke arah menjadikan masyarakat negara ini semakin berusia (ageing). Pada tahun 2010, 8% daripada penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas. Dianggarkan pada tahun 2040, golongan ini akan meningkat kepada 17%.  Perkembangan sebegini sudah tentu membuka peluang baharu kepada para ejen untuk mengambil kesempatan untuk memperluaskan jangkauan perniagaan mereka yang meliputi produk-produk insurans/takaful yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang semakin berusia ini. Umpamanya, produk anuiti, perlindungan kesihatan dan pengurusan kekayaan [wealth management].
Dalam bajet 2011, Kerajaan telah mengumumkan pelepasan cukai sebanyak RM3,000 atas pembelian produk anuiti untuk tempoh selama 10 tahun mulai tahun 2012. Insentif cukai ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat untuk menabung bagi tujuan persaraan kelak.
Tanggungjawab Sosial Para Ejen
Antara agenda yang diberi penekanan oleh Kerajaan adalah dalam membangunkan ekonomi negara yang bersifat seimbang, mampan [sustainable] dan inklusif. Ini adalah untuk memastikan bahawa setiap rakyat akan dapat menikmati manfaat daripada pertumbuhan dalam kekayaan negara. Dalam hal ini, golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar tidak harus terpinggir dalam arus perubahan dan pembangunan negara.
Oleh yang demikan, di bawah Pelan Sektor Kewangan 2011-2020, Bank Negara Malaysia akan menggalakkan industri insurans dan takaful untuk membangunkan produk insurans dan takaful mikro bagi memperluaskan lagi jangkauan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Pembekalan khidmat insurans ini akan dibuat dengan cara yang efisien dari segi kos, mudah diakses, mudah untuk difahami dan mudah untuk mendapat pampasan.
Saya ingin menyentuh tanggungjawab sosial yang pada fikiran saya adalah relevan dengan kerjaya sebagai seorang ejen. Sebagai golongan yang sentiasa berada di tengah-tengah masyarakat dan mempunyai hubungan peribadi (personal contact) dengan orang ramai, para ejen berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu usaha bagi memperluaskan lagi pendidikan kewangan dalam kalangan orang ramai.
Para ejen boleh meningkatkan khidmat bakti kepada masyarakat dengan memainkan peranan sebagai sumber maklumat kepada orang ramai tentang hal ehwal kewangan. Ejen boleh memberikan penjelasan sewajarnya mengenai perkembangan yang berkaitan dengan isu-isu kewangan semasa. Dengan ini saudara-saudari dapat membantu untuk mendidik masyarakat untuk menjadi lebih celik kewangan serta dapat menghindar mereka dari terjerumus dalam aktiviti kewangan yang tidak dikawal selia atau haram dan akhirnya akan menyebabkan kerugian kewangan.
Saya timbulkan isu ini kerana terdapat di pasaran pada masa ini, skim pelaburan haram dan pemberi pinjaman yang tidak berlesen. 
Saya ingin meyentuh sedikit tentang skim pelaburan haram seperti Skim Cepat Kaya yang sering diperkatakan. Terdapat ramai mangsa yang telah kehilangan wang dan harta benda disebabkan oleh skim sebegini. Walaupun pihak berkuasa sering kali menyiarkan amaran kepada rakyat supaya tidak terpedaya dengan skim sedemikian, masih terdapat segelintir rakyat yang terkena dengan janji manis dan palsu. Bank Negara Malaysia juga pernah menerbitkan siaran akhbar untuk membantu orang ramai untuk mengenal pasti ciri-ciri skim pelaburan haram. Antaranya:
Tawaran pemberian emas dan barang berharga yang lain sebagai sebahagian daripada pulangan yang dijanjikan. Orang ramai juga disogok dengan dakwaan bahawa deposit itu diterima sebagai pinjaman kepada syarikat.
Menjanjikan kadar faedah atau pulangan yang tinggi atau tidak realistik dalam suatu masa yang amat singkat. Malah ada yang menjanjikan pulangan yang melebihi 40% setahun. [ ’if it is too good to be true than it cannot be true’; Ikan di hulu tuba di hilir, ibarat burung mulut manis jangan dipakai].
’Modus operandi’ skim ini adalah mudah. Pada permulaannya, pelabur-pelabur awal akan dibayar pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan. Bagaimanapun, apabila pengendali skim haram ini mendapati bahawa terdapat kekurangan kecairan untuk memenuhi tuntutan pendeposit, pengendali akhirnya akan melarikan diri dengan wang yang dipungut . Akibatnya kerugian dan tangisan.
Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan sentiasalah memberi amaran kepada para pelanggan tentang bahaya dan sia-sianya melaburkan hasil titik peluh dalam skim pelaburan seumpama ini.
Begitu juga dengan kegiatan mengambil pinjaman dari pemberi pinjaman yang tidak berlesen. Saya juga ingin meminta agar saudara-saudari mengambil kesempatan semasa berjumpa dengan pelanggan masing-masing untuk mengingatkan mereka supaya menjauhkan diri dari mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana pemberi pinjaman yang tidak dilesenkan oleh pihak berkuasa. Ini adalah kerana terdapat ramai yang telah terjebak dalam kegiatan ini yang akhirnya akan membawa padah yang tidak diingini kepada diri sendiri dan juga keluarga. Malah jika kegiatan ini tidak dibendung, ia akan menjadi masalah sosial yang kronik yang akan menyebabkan gejala sosial yang berat kepada masyarakat.
Dalam hal ini, saya yakin sebagai ejen yang bertanggung jawab dan memelihara kepentingan jangka panjang pelanggan masing-masing, tuan-tuan dan puan-puan boleh memainkan peranan yang penting dengan memberikan nasihat dan menyebarkan maklumat yang kritikal ini kepada orang ramai.
Insentif untuk Membangunkan Tenaga Ejensi
Di samping perkembangan yang dibicarakan sebentar tadi, para ejen seharusnya sentiasa prihatin akan perkembangan yang berlaku dipersekitaran kita. Kemunculan saluran pemasaran alternatif yang semakin mendapat tempat adalah antara perkembangan yang akan memberi impak secara langsung kepada saluran ejensi. Impak ini akan lebih tinggi jika saluran alternatif ini dianggap lebih efisyen dari segi kos dan memberi saingan secara langsung kepada saluran ejensi. Selain itu, terdapat produk-produk kewangan alternatif di pasaran seperti saham amanah (unit trust) yang boleh menjadi saingan langsung kepada produk perlindungan insurans dan takaful. Malah dengan pengenalan produk insurans dan takaful yang semakin inovatif dan kompleks ini akan menambah cabaran kepada para ejen untuk meningkatkan lagi serta mengemas kini pengetahuan dan kemahiran mereka.
Untuk sentiasa berada di posisi ’relevan’, para ejen seharusnya sentiasa melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan terkini mengenai produk-produk yang ada di pasaran serta sentiasa bersedia menimba ilmu serta membaiki pengetahuan dalam memasarkan produk-produk perlindungan kewangan. Ia dapat dilakukan menerusi latihan yang berterusan dan memastikan khidmat nasihat yang diberikan sentiasa terkini, relevan dan kehadapan. Latihan secukupnya juga dapat meningkatkan tahap profesionalisme para ejen. Dalam hal ini, kepentingan latihan perlu dipupuk sejak seseorang itu mula menceburi diri dalam bidang ini.
Bagi membantu para ejen yang baharu menyertai industri insurans, saya ingin memaklumkan bahawa Bank Negara Malaysia akan membenarkan syarikat insurans untuk menyediakan pembiayaan latihan dan pembangunan yang lebih fleksibel kepada ejensi insurans. Langkah ini akan diambil oleh Bank Negara Malaysia dengan kerjasama industri insurans demi memperkukuhkan industri tuan-tuan dan puan-puan. Kemudahan pembiayaan ini diharapkan dapat membantu syarikat insurans dan juga ketua-ketua ejensi untuk menarik lebih ramai bakal ejen yang berpotensi dan yang benar-benar berminat untuk menjadi ejen yang berjaya dan produktif.
Selain dari itu, bagi menggalakkan ejen insurans hayat menaik taraf perniagaan mereka sebagai penasihat kewangan, satu pakej insentif sedang dipertimbangkan untuk tujuan ini. Inisiatif ini diharapkan dapat memberikan dorongan kepada saudara-saudari sekalian untuk meningkatkan produktiviti, kemahiran dan profesionalisme sebagai ejen insurans hayat yang berjaya.
Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada para penerima Anugerah Ketua Agensi Bumiputera Cemerlang dan Penghasil Peribadi Bumiputera Terbaik pada tahun ini. Inilah yang mahu kita lihat saban tahun yang mana, semakin ramai kaum Bumiputera telah berjaya dan mengungguli bidang ini. Saya amat berharap agar kejayaan mereka ini akan menjadi contoh dan menaikkan semangat rakan-rakan ejen insurans Bumiputera yang lain untuk terus maju dan terus berjaya dalam kerjaya mereka.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada MII dan LIAM kerana telah berjaya menganjurkan konvensyen gilang-gemilang ini. Saya yakin pelbagai pengetahuan dan ilmu berguna akan bakal dikongsi oleh para penceramah yang arif lagi berpengalaman untuk peserta yang hadir pada hari ini.
Semoga usaha saudara-saudari sekalian tidak tamat di sini sahaja dan akan berterusan sehingga mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Dalam mengharungi kehidupan harian kadang-kadang kita terlupa mengenai tanggungjawab kita sebagai anggota masyarkat, kadang-kadang dalam perlumbaan untuk mengecapi tahap kehidupan yang lebih baik, kita terlupa mengenai nilai-nilai murni yang perlu kita pupuk, kadang-kadang dalam persaingan yang sengit di bidang perniagaan, kita alpa mengenai sumbangan kita kepada negara.
Saya ingin membaca sebuah pepatah Melayu lama yang saya fikir sangat relevan pada abad 21 ini:
Menjalankan tugas, tahan beragas,
Menjalankan amanah, tahan dilapah,
Menjalankan yang hak, tahan diinjak,
Menunaikan janji, tahan dikeji,
Membela rakyat, tahan dikerat,
Membela bangsa, tahan binasa,
Membela negeri, tahan mati,
Menolong, tak harap sanjung,
Berbudi, tak harap puji,
Berkorban, tak harap imbalan,
Bekerja, tak harap upah,
Memberi, tak harap ganti,
Mengajar, tak harap ganjar.
Akhir kata, saya dengan rasa kesyukuran merasmikan Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera 2012 dengan tema, “Profesionalisme Tunggak Kejayaan”.
Saya akhiri ucapan saya dengan lafaz yang mulia, Wabillahi Taufiq wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
___________________________________________________________________

Anda sudah baca sepenuhnyakan… baiklah… rakaman ucapan yang saya highlight dengan warna kuning tu yang paling penting dan menarik perhatian saya… so apa pendapat anda? anda boleh decide sendiri… sertailah business yang mudah ni… tak perlu modal besar-besar pun… tapi income besar-besar… apa lagi alasan anda untuk tidak berjaya…
Jangan bagi alasan tak tahu nak buat… bukan semua orang buat terus berjaya… semua memerlukan proses pembelajaran… semua boleh belajar…
Cepat… ayuh mulakan dengan segera… lagi lama kita ambil masa nak fikir… lagi jauh kita akan tertinggal… bangsa lain sudah jauh meninggalkan kita dalam bidang ni… sampai bila kita nak tengok saja…
Hubungi Saya sekarang… (^_^)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *