Tanda Allah Sayang Kita

Munir
0


Kemarin... orang Kolompo sebut semalam 😁... dalam pukul 2 petang lepas zohor. Dapat satu call dari client Takaful saya. Lebih tepat client kepada ex-ejen saya sebab ejen dah terminate. Saya tak pernah jumpa pun. Cuma ada la sekali dua call tanya itu ini.

Mula-mula tu call nak tanya sebab dia dapat call dari HQ PruBSN. Katanya dia nak kena bayar banyak sebab dah terlebih claim. Dia tanya saya betul ke? Terus saya cek polisi dia dalam sistem sebab saya tak tahu plan apa yang dia apply dulu. Dalam sistem polisi dia tak ada Medical Card pun. Yang ada cuma hibah saja. Banyak la juga hibah yang dia buat atas nama anak dia yang nombor dua tu.

Bila cek tak ada Medical Card pun dalam polisi dia, nak claim apa. Saya bagitau ni satu SCAM kak. Ramai client saya yang dapat call macam ni. Suruh bayar jumlah tertentu. Kalau bayar saja hangus laaa. Nasib dia call saya dulu. Jangan layan dah Kak. Apa-apa call saya dulu.

Dia sambung lagi. Dok tanya perihal hibah dalam polisi dia. Anak dia dua orang. Yang sulung lelaki. Nombor dua perempuan. Yang lelaki dok KL. Isteri doktor. Yang perempuan dah kawin dok dengan dia sekali. Hibah ni dia buat atas nama anak yang nombor dua saja. Perempuan. Hibah yang dia letakkan atas nama anak nombor dua ni, dia rahsiakan. Tak bagitau kat sapa-sapa. Saya cakap, kakak kena bagitau juga sebab nanti dia tak tau yang kakak ada polisi hibah. 

Maka bermulalah ceritanya di sini. Kakak cerita dulu masa arwah suami dia meninggal, banyak masalah sebab arwah tak buat apa-apa penama langsung. Kisahnya si abang pula tuntut ikut pembahagian faraid. Saya kata BETUL lah tu. Memang kena ikut Kak. Tapi dia kata si abang tu orang senang. Isteri doktor. Si adik ni susah. Lagi pun duduk dengan mak. Jadi dia nak bagi lebih la sikit kat adiknya ni.

Tapi bila Kakak ni kata, kita kenal anak kita, tapi kita tak kenal menantu kita. Saya dah mula faham dah la apa masalah kat situ. Suara kakak mula bunyi macam sebak. Mulalah kakak cerita yang lain daripada itu. Dia kata tak mau kerana benda ni jadi masalah kat anak-anak. Kakak nak pergi SANA dengan tenang. Kakak nak buat pahala banyak-banyak. Kakak kata dia buat rumah kat sini besar-besar, dia nak kat SANA pun rumah besar juga. Allahuakbar.

Kakak nak buat pahala banyak-banyak sekarang. Jarang keluar rumah. Bukan takat jarang keluar rumah, keluar bilik pun dah jarang. Anak mula risau. Kalau anak bawa pergi jalan mana-mana, dok hotel, dia jarang nak keluar bilik. Dia tak nak tengok apa-apa lagi. Banyak layan video kuliah-kuliah ustaz saja kat YouTube. Allahuakbar.

Kakak cakap untungnya orang yang buta. Hidup dia tak perlu nak tengok semua hal dunia. Dunia yang penuh dengan dosa. Hati saya mula tersentuh. Allahuakbar. Dia kata, kalau waktu solat selalu menangis. Anak pun risau kenapa mak tak solat lagi. Dia cakap biar mak menangis dulu. Apa la mak ni. Mak nak solat dalam keadaan mak menangis. Sampai macam tu sekali.

Saya cakap itulah TANDA ALLAH SAYANG KITA. Saya dengar suara dia dah menangis kat dalam phone. Dia minta saya doa juga untuk dia. InsyaAllah saya doa selalu untuk semua client saya.

Saya bagitau dia esok Nisfu Sya'aban kak. Berdoalah. Tambah-tambah lagi Nisfu Sya'aban kali ni bertembung dengan hari Jumaat. Dua hari yang mana Allah mudah makbulkan doa-doa kita. Lagi kuat dengar dia menangis dalam phone.

Kakak dah umur 60 lebih. Untunglah Allah sayang kita. Allah uji tu tanda Dia sayang kita. Allah hantar kakak ni untuk jentik hati saya juga. Sedar diri penuh dengan dosa. Panjang dia cerita, setengah jam la juga. Saya tak tau macam mana nak tamatkan perbualan. Kesian dia menangis.

Saya cakap sabarlah kak. Tentang polisi kak tu nanti kena cerita juga kat anak. Kalau kak tak mau anak-anak bergaduh, kak buat saja surat. Hibah tu pi ubah atas nama mana-mana Rumah Anak Yatim. Atau kak waqaf saja hibah tu kat mana-mana yang kak suka. Masjid ka apa ka. Pahala kakak pun berjalan berterusan.

Semoga Kak Bani tabah selalu. Aminnn...

Salam Nisfu Sya'aban sahabat semua...



Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)