Erti murtad ialah kembali kepada kekafiran seperti seperti seorang yang asalnya beragama Islam kemudian keluar dari Islam untuk masuk ke dalam agama lain maka dinamakan dia sebagai orang murtad. Perbuatannya itu disebut sebagai riddah.
Demikian juga tergolong dalam murtad ialah orang-orang yang beragama Islam kemudian melakukan perbuatan yang menafikan iman atau menafikan Islam seperti dikatakan Allah tidak ada atau Nabi Muhammad itu penipu atau Al-Quran itu dongeng atau seumpamanya.
Tidak disyaratkan murtad itu mesti masuk kepada agama yang lain dari Islam. Orang Islam yang tidak mempercayai lagi kepada Islam juga tergolong sebagai murtad sekalipun dia tidak masuk kepada agama yang lain.
Maka murtad ini adalah termasuk dalam golongan kafir dengan ijmak ulama dan ialah kafir yang paling keji dan dosa murtad ialah dosa yang paling besar.
Orang murtad akan terhapus segala amal baik yang telah mereka kerjakan ketika hidup di dunia. Dan mereka akan kekal menerima siksaan di neraka selama-lamanya.
Firman Allah :
َمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Siapa yang murtad dari kamu sekelian daripada agamanya kemudian mati padahal dalam kekafiran maka mereka itulah yang terhapus segala amalan mereka di dunia dan di akhirat pula mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalam neraka selama-lamanya. “ (Al-Baqarah : 217)
Firman Allah swt :
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Dan barangsiapa yang mengambil akan selain Islam sebagai agama maka tidak akan diterima daripadanya. Dan dia pada akhirat nanti termasuk orang-orang yang sangat rugi.” (Al-Imran : 85)
Apakah ertinya orang-orang kafir akan rugi di akhirat nanti?
Allah swt menjelaskan makna kerugian bagi orang-orang kafir di akhirat dengan firman-Nya :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
“Sungguhnya orang-orang yang kafir dengan ayat-ayat Kami maka nanti akan Kami bakar mereka itu di dalam api neraka. Setiap kali tercabut kulit-kulit pada badan mereka itu maka akan Kami gantikan dengan kulit-kulit yang baru supaya mereka merasa sangat azab. Sungguhnya Allah adalah sangat berkuasa lagi bijaksana.” (An-Nisaak : 56)
Wallahua’lam...
Nota : Jom kita dengar apa kata Dato' Ustaz Shamsuri. Semoga bermanfaat untuk semua.