Derita tumor otak
Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2011/09/15
PENYAKIT tumor otak, acoustic neuroma (AN) yang dikesan dan dideritai Syahidah Ishak, sejak setahun lalu mengubah hampir sebahagian daripada hidupnya.
Namun begitu, Syahidah, 33, yang sebelum ini bertugas sebagai pensyarah di kolej swasta dan mengajar subjek ekonomi serta pengurusan, reda dan akur dengan ujian Allah harus diharungi.
Biarpun seronok berkongsi pengetahuan dengan pelajarnya tetapi dengan pergerakan terbatas dan beberapa perubahan fizikal dialami sejak di diagnosis tumor otak, Syahidah dengan berat hati meminta ditukarkan di bahagian peperiksaan.
“Saya suka untuk berkongsi pengetahuan dengan pelajar tetapi saya tidak lagi boleh menjalankan pembelajaran kerana hendak menulis pun agak sukar. Malah, tangan saya sering mengalami kekejangan. Pergerakan saya juga agak lambat dan tidak seperti dulu lagi. Begitu juga pada bahagian muka sedikit herot manakala mata tidak boleh tutup lama,” kata Syahidah menceritakan penderitaan dan beberapa perubahan fizikal dialami.
Menceritakan penyakit dihadapi, Syahidah berkata pada awalnya dia mempunyai masalah pendengaran dua tahun lalu tetapi tidak fikir banyak mengenai hal itu kerana menganggap ia masalah biasa.
Namun, keadaan itu berlanjutan dan masalah pendengaran dihadapi semakin teruk ia seperti mendengar ketika berada dalam air. Kemudian, telinga kiri juga mengalami masalah hampir sama. Keadaan itu menyebabkan koordinasi Syahidah terjejas dan hilang keseimbangan serta menyukarkannya untuk bergerak.
“Sehinggalah suatu hari saya hilang keupayaan untuk mendengar pada telinga kanan. Mulanya, saya fikirkan telinga tersumbat dan cuba untuk membersihkan tetapi ia tidak membantu. Saya kemudian meminjam kawan, alat pendengaran (earphone) untuk mendengar muzik dan dari situlah menyedari telinga kanan saya menghadapi masalah langsung tidak dengar,” katanya.
Syahidah yang tinggal di Ampang, berkata dia menjalani pemeriksaan lanjut pada bulan Julai lalu untuk mengetahui masalah sebenar dihadapi. Ujian yang dijalani menunjukkan, dia mempunyai tahap tiga tumor berkembang di dalam otak.
“Saya agak terkejut dengan hasil ujian itu kerana tidak sangka ada tumor otak yang dikesan sedangkan sebelum ini, saya sangka sakit telinga dialami adalah sakit biasa saja. Mulanya, saya mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan kepada sesiapa mengenai penyakit dihadapi termasuklah keluarga. Tetapi apabila ibu bapa saya dapat tahu, saya berasa bersalah dan menceritakannya serta memohon maaf kepada mereka. Sebenarnya, saya tidak mahu mereka bimbang,” katanya sambil menambah ibu bapanya adalah pesara.
Sejak itu, keluarga, rakan-rakan dan pelajar memberinya sokongan moral, termasuk penulis blog, Yvonne Foong yang menderita penyakit neurofibromatosis serta mengalami penderitaan sama dialami. Syahidah turut membuat penyelidikan melalui internet untuk memahami dan mengetahui lebih lanjut penyakit dihidapi.
“Banyak membaca dan mencari maklumat ada kala membuatkan saya rasa takut dengan penyakit saya tetapi pada masa sama, ia penting untuk saya mendapatkan pengetahuan,” ujarnya telus berkongsi kegusaran di hati.
Pada Oktober tahun lalu, Syahidah menjalani pembedahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dengan kos RM33, 800. Selain majikan, jumlah kos rawatan itu turut ditanggung syarikat insurans.
Katanya, pakar bedah berjaya mengeluarkan hanya 2.4cm tumor daripada 3.8cm yang dikesan. Syahidah mendapatkan beberapa pandangan pakar perubatan mengenai baki tumor yang masih tinggal. Rata-rata berpendapat, baki tumor yang masih ada berbahaya dan jika tidak dirawat ia boleh berkembang, di samping memberi kesan kepada telinga dan juga deria imbangan badan.
Selepas membuat segala pertimbangan, anak tunggal perempuan dalam empat beradik ini bertekad untuk menjalani pembedahan membuang baki tumor di hospital di Amerika Syarikat (AS).
Menerusi rakan blog, Foong, Rasyidah mendapat tahu Dr Rick Friedman, pakar mengenai masalah telinga dan pernah berjaya mengeluarkan tumor 4cm dengan melakukan pembedahan selama empat jam.
“Saya berterima kasih kepada Foong yang mencadangkan Dr Friedman kepada saya. Melalui emel saya sering mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Dr Friedman mengenai penyakit dihadapi,” katanya turut memberitahu akan menjalani pembedahan di AS dengan kos 50.000 US $ (RM150, 000).
Kos yang tinggi itulah menyebabkan Syahidah tidak lena tidur kerana tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan sumber bagi membiayai rawatan pembedahannya dijangka akan dibuat Oktober depan.
“Insurans perubatan tidak termasuk rawatan di luar negara dan Majlis Kanser Kebangsaan Malaysia (Makna) klasifikasikan kes saya sebagai bukan kanser dan tidak dapat membantu saya. Mulanya saya bercadang untuk membuat pinjaman peribadi daripada bank tetapi dengan keadaan kesihatan dialami, tidak mungkin saya boleh berbuat demikian. Ibu bapa pula bukan orang senang dan mereka masih perlu menanggung seorang lagi adik saya yang sedang belajar,” katanya.
Tambahnya, sejak Julai lalu dia tidak dapat tidur dengan betul akibat kesan penyakit dihidapi, di samping mempunyai masalah menutup mata kanan.
Syahidah memberitahu, cuba mengatasi masalah dihadapi dia kini sedang berusaha keras dengan pelbagai cara terutama melalui jualan amal untuk mengumpulkan dana bagi membiayai kos rawatan bakal dibuat di AS.
Melalui blog yang dibangunkan sejak Mac lalu, Syahidah menjual beberapa barangan seperti baju T, payung, beg, magnet, tali leher, alat permainan dan sebagainya. Selain menjual barang, blog dibina itu juga berjaya menghubungkan Syahidah untuk berkomunikasi dan bertukar-tukar fikiran dengan beberapa pakar perubatan dari negara luar termasuk Jepun, Russia dan Amerika Syarikat, khususnya mengenai AN.
“Baju T saya reka cetak sendiri manakala barang-barang lain saya ambil dari luar dan ada juga barang ihsan diberikan oleh rakan saya tanpa mengambil sebarang bayaran untuk saya jual. Dengan melancarkan jualan amal melalui blog, sehingga kini saya berjaya mengumpul RM14,000 dan ini bermakna, masih banyak lagi diperlukan tetapi saya yakin boleh mengumpulnya, seterusnya dapat menjalani pembedahan dengan selamat,” katanya dengan tekad tidak akan berputus asa.
Syahidah turut berjanji pada diri sendiri, jika segala-galanya berjalan lancar dia bercadang untuk terus berkongsi maklumat dan pengalaman mengenai penyakit acoustic neuroma yang dihidapi melalui blognya iaitu http://wwwsyahidahishak.blogspot.com.
INFO: Mengenai Acoustic Neuroma (AN)
AN juga dikenali sebagai Acoustic neurilemmoma, Acoustic neurinoma, Auditory tumor dan Vestibular schwannoma.
AN adalah ketumbuhan bukan kanser yang terjadi pada saraf yang menyambungkan telinga ke otak.
Tumor biasanya tumbuh perlahan-lahan dan apabila tumbuh ia memberi tekanan terhadap saraf pendengaran dan keseimbangan.
Pada mulanya, pesakit mungkin tidak mempunyai simptom atau gejala ringan. Ini termasuklah
- Kehilangan pendengaran salah satu deria dengar
- Telinga berasa berdengung
- Pening dan mengalami masalah keseimbangan
AN boleh sukar untuk di diagnosis kerana gejalanya sama dengan individu yang ada masalah telinga. Pemeriksaan telinga, ujian pendengaran dan imbasan boleh dibuat bagi mengenalpasti penyakit itu.
Jika tumor kekal kecil, pesakit hanya perlu diperiksa secara berkala.
Pada dasarnya, terdapat dua rawatan yang ditawarkan iaitu pembedahan atau radioterapi. Pilihan terapi adalah bergantung kepada kedudukan dan saiz neuroma akustik, kesan paduan pada saraf dan otak, serta keadaan pesakit. Disebabkan oleh pertumbuhan perlahan tumor keputusan memilih rawatan boleh ditangguhkan dengan risiko tertentu iaitu "tunggu dan lihat".
Jika tumor memberi kesan kepada kedua-dua saraf pendengaran, ia kerap kali kerana gangguan genetik yang dipanggil neurofibromatosis. Tumor juga boleh akhirnya menyebabkan kebas atau lumpuh bahagian muka.
Sumber : Berita Harian
"Ya Allah... Engkau jauhkanlah segala penyakit yang merbahaya yang seumpamanya ke atas semua client aku... kurniakanlah mereka dengan kesihatan yang baik-baik... Aminnn"